Rumah anak yatim pertama di Kudat akan siap jun ini
sumber : https://www.sayangsabah.com/rumah-anak-yatim-pertama-di-kudat-akan-siap-jun-ini/
Kudat : Rumah Anak Yatim Baitul Hidayat yang pertama seumpama di daerah Kudat akan siap menjelang Jun ini.
Pegawai Daerah yang juga Pengerusi Rumah Anak Yatim Baitul Hidayat, Sapdin Ibrahim berkata bangunan dua tingkat tersebut didirikan di atas tanah seluas setengah ekar milik kerajaan dengan kapasiti 20 penghuni lelaki dan perempuan.
“Pembinaan bangunan baharu rumah anak yatim ini sedang berjalan dan dijangka akan siap sepenuhnya pada Jun ini.
“Kita berterima kasih kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri yang telah meluluskan peruntukan RM250 ribu untuk pembinaan bangunan ini.
“Bangunan ini juga akan mempunyai kemudahan asrama yang lebih selesa di tingkat atas, manakala ruang pejabat pengurusan Baitul Hidayat pula di tingkat bawah,” jelasnya.
Sapdin turut mendedahkan, bangunan rumah anak yatim yang dibina sejak tahun 2015 itu hanya mampu menempatkan lapan penghuni yang merupakan golongan asnaf berumur antara 7 hingga 16 tahun.
Baitul Hidayat ditadbir oleh 30 ahli Persatuan Pengurusan Anak Yatim Kudat yang bertanggungjawab mencari dan menyumbang dana untuk pengurusan, makan minum, pakaian, perbelanjaan sekolah dan sebagainya.
Beliau yang ditemui pada Program Ziarah Kasih Yayasan Nur Jauhar (YNJ) di sini, pada Isnin, turut menerima sumbangan RM5,000 daripada Penasihat YNJ, Toh Puan Dr Hajah Norlidah Tan Sri R.M Jasni.
Pada kunjungan tersebut, Toh Puan Norlidah meluangkan masa kira-kira 45 minit bagi mendengar taklimat ringkas mengenai perkembangan rumah berkenaan, di samping beramah-mesra dengan para penghuni Baitul Hidayat./Penerangan-
No comments:
Post a Comment